News

Makmal Perancangan Strategik PERPUN 2014

10-12 Dis 2014 – Seramai lebih kurang 36 orang Ketua-Ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Perpustakaan Universiti telah berkampung selama tiga hari di Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia bagi menjayakan Makmal Perancangan Strategik, Persidangan Ketua-Ketua Pustakawan Perpustakaan Universiti & Perpustakaan Negara Malaysia (PERPUN).

Di majlis perasmian pada hari pertama, dilihat Timbalan Naib Canselor (Bahagian Penyelidikan & Inovasi) Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr Muhamad Jantan turut hadir bagi menyampaikan ucaptama seterusnya merasmikan majlis yang penuh bermakna ini. Beliau menekankan tentang kepentingan pustakawan untuk memposisikan kedudukan mereka di era moden ini supaya kekal relevan di mata pelanggan. Dengan wujudnya pelbagai gajet dan teknologi terkini yang membolehkan capaian maklumat sekelip mata, pustakawan seharusnya merasa tercabar dan justeru perlu merancang strategi baharu bagi menangani isu ini dengan bijaksana.

Makmal ini dilihat berlangsung lancar dengan setiap kumpulan menghasilkan pelan masing-masing untuk tempoh 3 tahun ke hadapan. Setiap kumpulan yang terdiri dari 6 atau 7 orang ahli akan memfokuskan perbincangan kepada topik-topik yang telah diberikan iaitu melibatkan pemerkasaan Perpun, dasar dan polisi, perkongsian maklumat dan sumber, pembangunan profesion, kewangan dan memposisikan perpustakaan.

Di akhir sesi, setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan. Alhamdulillah diakhirnya, sebuah pelan perancangan strategik berjaya dibangunkan untuk menjadi panduan kepada semua ahli untuk tindakan masa hadapan. Diharapkan kesemua pelan yang dirancang semasa makmal ini akan direalisasikan dengan cemerlang seterusnya berjaya mengangkat martabat bidang kepustakawan ke tahap yang lebih membanggakan.

Sumber: PHS Blog – https://hamzahsendutlibrary.wordpress.com/2014/12/19/makmal-perancangan-strategik-perpun-2014/